Saturday, June 18, 2011

Habis Madu Sepah Dibuang??


(Persoalannya, adakah semua lelaki yang berPOLIGAMI mampu berlaku adil??)

Topik sensitif di atas dipilih adalah tiada kena mengena dengan sesiapa pon (termasuk lah diri saya sendiri ~ Insya-Allah ~ doakan yer  ;)

Apabila rumahtangga yang didirikan dan dijaga selama 20 tahun tiba-tiba goyah, pasti ada sesuatu yang menjadi sebab. Tapi adakah kita sebagai seorang perempuan dan isteri pasti apakah sebab musabab nya??

Apakah semua sebab-sebab itu berpunca daripada pihak perempuan atau isteri? Apakah tiada satu pon kebaikan daripada isteri yang dilakukan selama 20 tahun bersama?

Kepada kaum lelaki, andai seperti yang dikata..."sudah jodoh, nak buat macam mana". Adakah anda sungguh-sungguh pasti bahawa anda lebih dari sedia untuk memikul tanggungjawab seadil-adilnya??

Renung-renungkanlah...


Apa sebenarnya POLIGAMI ??

Poligami bermaksud satu sistem perkahwinan yang mana seseorang mempunyai lebih daripada seorang pasangan hidup. 

Poligami menurut Islam adalah salah satu upaya untuk menyelamatkan kaum wanita dari dekadensi moral yang diakibatkan oleh ketidak seimbangan jumlah perempuan dengan laki-laki yang lahir dalam kurun waktu tertentu.

Syarat-syarat bagi seorang lelaki untuk berPOLIGAMI

1. Membatasi jumlah isteri yang akan dikahwininya.

Syarat ini telah disebutkan oleh Allah (SWT) dengan firman-Nya;

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu ber-kenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat." (Al-Qur'an, Surah an-Nisa' ayat 3)

Ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa Allah telah menetapkan seseorang itu berkahwin tidak boleh lebih dari empat orang isteri. Jadi, Islam membatasi kalau tidak beristeri satu, boleh dua, tiga atau empat sahaja.
Ia bertujuan membatasi kaum lelaki yang suka dengan perempuan agar tidak berbuat sesuka hatinya. 

2. Diharamkan bagi suami mengumpulkan wanita-wanita yang masih ada tali persaudaraan menjadi isterinya.

Misalnya, berkahwin dengan kakak dan adik, ibu dan anaknya, anak saudara dengan emak saudara baik sebelah ayah mahupun ibu.

Tujuan pengharaman ini ialah untuk menjaga silaturrahim antara anggota-anggota keluarga. Rasulullah (s.a.w.) bersabda, maksudnya;

"Sesungguhnya kalau kamu berbuat yang demikian itu, akibatnya kamu akan memutuskan silaturrahim di antara sesama kamu." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

3. Disyaratkan pula berlaku adil, 

Sebagaimana yang difirmankan Allah (SWT);

"Kemudian jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kaumiliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Al-Qur'an, Surah an-Nisa' ayat 3)

Dengan tegas diterangkan serta dituntut agar para suami bersikap adil jika akan berpoligami. Andaikan takut tidak dapat berlaku adil kalau sampai empat orang isteri, cukuplah tiga orang sahaja. Tetapi kalau itupun masih juga tidak dapat adil, cukuplah dua sahaja. Dan kalau dua itu pun masih khuatir tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah menikah dengan seorang sahaja.

Seorang suami hendaklah berlaku adil sebagai berikut:

a) Berlaku adil terhadap dirinya sendiri.

b) Adil di antara para isteri.


Adil di antara isteri-isteri ini hukumnya wajib, berdasarkan firman Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 3 dan juga sunnah Rasul. Rasulullah (s.a.w.) bersabda, maksudnya;


"Barangsiapa yang mempunyai dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang di antaranya dan tidak berlaku adil antara mereka berdua, maka kelak di hari kiamat dia akan datang dengan keadaan pinggangnya miring hampir jatuh sebelah." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)

  • i) Adil memberikan nafkah.
  • ii) Adil dalam menyediakan tempat tinggal.
  • iii) Adil dalam giliran.
c) Anak-anak juga mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan, pemeliharaan serta kasih sayang yang adil dari seorang ayah.


Berlaku adil dalam soal nafkah anak-anak tidak kira dari ibu yang mana, kesemuanya mereka berhak memiliki kasih sayang serta perhatian yang seksama dari bapa mereka. Ini dapat menghindarkan rasa dendam di antara sesama isteri dan anak-anak.

Hal ini sesuai dengan apa yang telah difirmankan Allah dalam Surah an-Nisak ayat 129 yang berbunyi;

"Dan kamu tidak sekali-kali akan sanggup berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang)."

4. Tidak menimbulkan huru-hara di kalangan isteri mahupun anak-anak. 


Suami mesti yakin bahawa perkahwinannya yang baru ini tidak akan menjejaskan serta merosakkan kehidupan isteri serta anak-anaknya. Jika kepentingan ini tidak dapat dijaga dengan baik, maka seseorang yang berpoligami pada saat itu adalah berdosa.

5. Berkuasa menanggung nafkah.

Yang dimaksudkan dengan nafkah di sini ialah nafkah zahir, sebagaimana Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud;

"Wahai sekalian pemuda, sesiapa di antara kamu yang berkuasa mengeluarkan nafkah, maka hendaklah kamu berkahwin. Dan sesiapa yang tidak berkuasa, hendaklah berpuasa."

Andaikan seorang lelaki itu tidak berkemampuan, maka tidak digalakkan berkahwin walaupun dia seorang yang sihat zahir serta batinnya. 

Kesimpulan dari maksud kemampuan secara zahir ialah
  • Mampu memberi nafkah asas seperti pakaian dan makan minum.
  • Mampu menyediakan tempat tinggal yang wajar.
  • Mampu menyediakan kemudahan asas yang wajar seperti pendidikan dan sebagainya.
  • Sihat tubuh badannya dan tidak berpenyakit yang boleh menyebabkan ia gagal memenuhi tuntutan nafkah zahir yang lain.
  • Mempunyai kemampuan dan keinginan seksual.




  hiemash

No comments: